Assalamualaikum kepada semua penggiat hartanah, di dalam bahasa Melayu;

  • ‘Earnest’ bermaksud bersungguh-sungguh, dan
  • ‘Deposit’ bermaksud wang cagaran.

Jadi, dalam bidang hartanah, ‘Earnest Deposit’ adalah membawa maksud, wang cagaran bagi tujuan menunjukkan kesungguhan seorang pembeli untuk membeli sebuah hartanah daripada penjual. Earnest Deposit juga adalah merupakan sebahagian daripada harga rumah yang dipersetujui.

Kenapa Perlu?

Dalam kes jual beli hartanah, ada beberapa perkara perlu dipastikan sebagai syarat sebelum Perjanjian Jual Beli termaktub, antaranya;

  • Kelulusan pinjaman (jika perlu)
  • Memastikan pemilik layak untuk berkontrak dan menjual hartanah tersebut.
  • Memastikan hartanah tersebut boleh dijual atau pindah milik.

Pembeli memerlukan masa utk memastikan tiga perkara di atas, namun mereka mungkin boleh terlepas peluang jika ada orang lain membayar terlebih dahulu. Jadi, Earnest Deposit digunakan untuk menunjukakan tanda kesungguhan dan juga kebiasaannya di gunakan sebagai wang pertaruhan dalam kontrak jual beli ini.

Earnest Deposit sebagai wang pertaruhan?

Ya, jika semua syarat kontrak sudah disempurnakan dan tidak menyekat transaksi jual beli tersebut, boleh jadi pihak pembeli atau pihak penjual merubah keputusan mereka, maka nilai Earnest Deopit tersebut dijadikan sebagai ganti rugi kepada pihak satu lagi. Berikut adalah kesan bagi pihak yang membatalkan niat;

  • Pembeli : Earnest Deposit yang di bayar akan dirampas oleh pihak penjual

  • Penjual : Earnest deposit yang telah di bayar akan dipulankan kepada Pembeli dan pihak penjual perlu membayar satu jumlah yang sama sebagai ganti rugi.

Pembeli dan penjual juga boleh gunakan Specific Performance jika mereka tetap ingin meneruskan jual beli tersebut.

Bayar kepada siapa?

Oleh kerana sifat Earnest Deposit ini yang mana ia belum lagi jelas jadi milik penjual, maka ia dibayar kepada Pemegang Amanah samada;

  • Ejen Hartanah

  • Peguamcara

Di iRealty, sebagai Ejen Hartanah berdaftar, kami memiliki sebuah akaun pelanggan yang diwujudkan berdasarkan peruntukkan di dalam Akta 242 dan MEAS, bagi tujuan untuk memegang wang bayaran daripada pihak pelanggan bagi tujuan sebarang deposit. Di bawah peruntukkan dokumen tersebut, wang yang terkandung di dalam akaun pelanggan ini mestilah diaudit dan di laporkan kepada Lembaga Penilai Pentaksir dan Ejen Hartanah (LPPEH) setiap tahun. Kegagalan mengurus selia wang tersebut dengan telus dan sewajarnya boleh menyebabkan lesen agensi hartanah tersebut boleh ditarik. Maklumat akaun pelanggan kami adalah seperti berikut;

  • Bank : Maybank, Putrajaya
  • No Akaun : 5160 1541 2139
  • Nama Akaun : iRealty Management Clients Account

Berapa jumlah Earnest deposit?

Tidak dinyatakan di dalam mana-mana akta tentang berapakah jumlah bayaran ernest deposit, maka jumlahnya ditentukan berdasarkan persetujuan bersama diantara pembeli dan penjual melalui ejen mereka. Dengan sifatnya sebagai wang pertaruhan, jumlah yang dipersetujui tidak boleh terlalu kecil yang tidak meletakkan kesungguhan dan juga tidak terlalu besar yang membebankan dan meningkat risiko kepada pembeli.

Di Malaysia, pihak ejen hartanah boleh mengambil yuran profesional mereka daripada wang Earnest Deposit tersebut selepas ia sah menjadi milik penjual, maka oleh kerana itu, ejen hartanah sering mencadangkan nilai 3% digunakan sebagai Earnest Deposit untu memudahkan proses bayaran yuran professional. Maka 3% telah menjadi nilai Earnest Deposit yang biasa dipersetujui oleh pihak penjual & pembeli, ia juga tidak terlalu kecil untuk membuatkan pembeli sambil lewa dan tidak terlalu besar yang membebankan mereka.

Berapa lama masa diberikan kepada pembeli?

Berikut adalah tempoh masa yang diperlukan oleh pihak pembeli untuk memastikan tiga perkara yang tersebut;

  • Kelulusan pinjaman (jika perlu) (14 – 21 hari)
  • Memastikan pemilik layak untuk berkontrak dan menjual hartanah tersebut (1 – 2 hari)
  • Memastikan hartanah tersebut boleh dijual atau pindah milik (2 – 3 hari)

Memandangkan kelulusan pinjaman memerlukan masa yang lebih panjang maka ia biasa dijadikan sebagai tempoh diberikan kepada pihak pembeli. Sekiranya pembeli masih gagal memastikan kelulusan pinjamana mereka, seharusnya mereka meminta tempoh tambahan atau membatalkan niat jual beli sebelum tamat tempoh tersebut. Jika tempoh sudah tamat, pihak penjual diberikan hak samada memutuskan untuk;

  • Memberi tempoh tambahan
  • Membatalkan kontrak jualan kepada pembeli dan memulangkan Earnest Deposit
  • Membatalkan kontrak jualan kepada pembeli dan merampas Earnest Deposit

Kesimpulan

Memahami apa itu Earnest Deposit dan kesannya kepada transaksi jual beli adalah sangat penting untuk setiap penjual, pembeli dan ejen itu sendiri. Di iRealty, kami sangat menekankan tentang kepentingan ini agar setiap perunding kami menguruskan jual beli tersebut dengan lebih lancar. Semoga maklumat ini bakal menyelamatkan anda daripada sebarang kesulitan, 2 kesilapan utama yang sering berlaku;

  1. Nilai bayaran terlalu rendah: Pembeli tidak serius dalam mendapatkan kelulusan pinjaman, menyebabkan pihak Penjual terpaksa tunggu lama.
  2. Bayaran dibuat bukan kepada akaun pemegang amanah: Kemungkinan untuk duit itu disalahgunakan menjadi lebih tinggi.

Sebarang maklumat lanjut dan pertanya tentang Earnest Deposit dan selok belok jual beli beli hartanah boleh berhubung dengan penulis. Sekian.